Dec 7, 2011 11:16 AM
Jom berkampung di Bukit Kala
by jerben orang asli
Jika ko orang tak ada program hujung minggu ni atau makan kenduri area Gombak apa kata singgah kat Kampung Orang Asli Bukit Kala, Batu 12 Gombak. Pada Ahad (11 Dis) Rais Yatim turun untuk melawat masyarakat di sini. Sempena lawatan menteri itu pelbagai acara diadakan termasuk sewang serta pemeriksaan kesihatan percuma. Gerai menjual kraf tangan dan orkid hutan juga diadakan.
Apa lagi jom! Cubalah bakat menyumpit. mereka sediakan tempat untuk orang ramai menyumpit.
Bermula Sabtu petang masyarakat Orang Asli menyediakan makanan tradisional mereka dan buat anyaman dan persiapan sewang.
Dec 2, 2011 8:48 AM
Jerben
by jerben orang asli
Ramai yang bertanya apa makna jerben! Bunyi macam Jerman pun ada gak. Tulah kita biasa dengar bahasa asing dari negara omputeh je tapi bahasa peribumi kurang sekali pada pendengaran.
Jerben dalam bahasa suku kaum Temiar bermaksud keindahan, Tajuk blog ini Jerben Orang Asli bermakna keindahan Orang Asli. Apa-apa saja keindahan berkait dengan suku kaum ini termasuk budaya, wajah atau alam sekeliling.
Nov 29, 2011 10:37 AM
Tok Batin yang terseksa batin
by jerben orang asli
Saya pertama kali menemui Tok Batin Batu 12 Gombak pada 2006 menerusi seorang rakan. Pertemuan di kedai Mat Sidek berhampiran Skem (sekolah belajar memandu) santai saja. Namun pada akhir perbualan Hussien Ngah Yin atau dilebih mesra dengan panggilan Pak Hussien meminta saya menolongnya dalam urusan surat menyurat dalam hal berkaitan masyarakat Orang Asli Batu 12. Permintaan yang saya rasa agak berat juga kerana seolah-olah sudah diberi tugas saat pertama kali berjumpa dan permintaan itu jugalah yang 'mengikat' saya dengan anak buah Pak Hussein sehingga kini.
Sudah lama Pak Hussein meminta saya membuat blog untuk memaparkan kehidupan Orang Asli Batu 12 Gombak khasnya masalah yang mereka hadapi. Sebagai ketua masyarakat banyak perkara perlu dibuat oleh Pak Hussein sedangkan tak ramai anak buah yang dapat membantu atas alasan masing-masing menyebabkab beliau sering mengungkapkan: "Tok batin juga yang terseksa batin." Pengalaman saya bersama Pak Hussein banyak orang luar cuba membantu tetapi untuk mendapatkan habuan apatah lagi dengan janji melaksanakan pelbagai projek. Mungkin mereka ingat boleh 'makan' Orang Asli kerana tahu bantuan kerajaan untuk masyarakat ini bukan sedikit. Ada yang nak buat projek bela ikan keli sampai RM5 juta dan tak kurang juga menjual nama Orang Asli atas kertas untuk mendapatkan RM.
Justeru, dengan serba kekurangan saya cuba melaksakan hasrat Pak Hussein seboleh mungkin untuk berkongsi kisah mereka dengan maysarakat di luar sana.
SEJARAH KEWUJUDAN ORANG ASLI DI BATU 12 GOMBAK
Ulu Gombak merupakan pusat pentadbiran JHEOA yang terawal dan tertua di Semenanjug Malaysia, menjadi mercu atau pusat hal ehwal kebajikan Orang Asli terbesar dengan terdapatnya sebuah hospital dan Muzium Orang Asli di sini.
Disebabkan kedudukannya dipinggiran kota raya Kuala Lumpur, sejak dari dulu sehinggalah sekarang, ulu Gombak sering menjadi tajuk utama dalam topik bualan senda gurau orang kota kerana kehidupan mereka jauh kebih maju. Orang Asli sering dijadikan bahan sindiran atau gurauan tanda memperlekehkan mereka.
Jika menegur anak tak berbaju terpacullah dari mulut si ibu: "Anak siapa kau ni? Dah lah tak pakai baju berkaki ayam plak tu, dah macam anak Arang Asli kat Batu 12 je aku tengok!"
Kalau orang kota sesat dalam K.L, Orang Asli juga yang dapat busuknya: "Hai! duduk Gombak dalam K.L pun kau boleh sesat Mat ? Kau ni duduk kat ulu mana, Gombak batu 12 ke?"
Namun perkara positifnya, mungkin sindiran begitu sedikit sebanyak mempromosikan kewujudan Masyarakat Orang Asli di Batu 12 Gombak. Hakikatnya ramai yang tidak tahu perkampungan Orang Asli di Batu 12, Gombak ini tidak diiktiraf pun kewujudannya kerana sehinggalah kini perkampungan itu masih betaraf setinggan kekal menumpang teduh di tanah rizab hutan.
Minoriti Terpinggir
Pada asalnya Masyarakat Orang Asli di Batu 12 Gombak talah dikumpulkan oleh kerajaan melalui JHEOA pada awal 1956. Ketika itu 360 belia Orang Asli berbilang suku kaum yang diambil dari seluruh Tanah Melayu dikumpulkan mengikuti latihan dan krusus perubatan selama enam bulan. Setelah tamat kursus mereka diserapkan menjadi kakitangan kerajaan sebagai pembantu perubatan dan kemudian dihantar untuk bertugas di pos penempatan Orang Asli yang jauh di pendalaman selama tiga bulan mengikut giliran.
Tujuan kerajaan menubuhkan pasukan ini adalah untuk memperkenalkan rawatan moden sambil berperanan sebagai serampang dua mata bagi menawan hati masyarakat Orang Asli yang jauh di pendalaman menyokong kerajaan daripada ancaman Parti Kamunis Malaya (PKM). Mereka juga telah menjadi mata dan telinga kerajaan melaporkan segala pergerakan PKM dengan amat berkesan sehingga peletakan senjata oleh parti tersebut di Thailand pada 1989.
Pengorbanan mereka terlalu besar sanggup bergadai nyawa untuk memajukan masyarakat sendiri. Perkhimatan mereka boleh di ibaratkan sebagai buruh serba guna kerajaan kerana selain memberikan perkhimatan perubatan dan melaporkan segala kegiatan pengganas Komunis, mereka turut bertanggungjawab membantu menyedia dan menguruskan hal ehwal kebajikan seperti pendaftaran sijil kelahiran, kad pengenalan serta lain –lain kemudahan yang diperlukan oleh masyarakat Orang Asli di pendalaman.
Boleh dikatakan jasa mereka sebagai pejuang mempetahankan negara belum sepenuhnya diiktiraf kerajaan. Saki-baki mereka yang masih bernyawa masih menetap di setinggan Bukit Kala yang ketika ini di belenggu masalah penempatan dan kemiskinan. Setidak-tidaknya berikan lah mereka sebidang tanah supaya dapat bercucuk tanam. Lebih malang sejarah dan rintihan mereka hanya berlegar di kedai kopi, lebih menyedihkan nasib mereka bak habis madu sepah dibuang.
No comments:
Post a Comment